“Semua ilmu ada dalam al-Quran,” kata seorang
ulama.
“Maksud tuan ilmu dunia juga?” balas seorang
pemuda.
“Ya, ilmu dunia dan akhirat.”
“Saya tidak percaya. Masakan begitu? Bagi saya
mustahil kitab al-Quran yang hanya terdiri daripada ribuan ayat itu boleh
mengisi semua bentuk ilmu.”
“Berapa ayat yang diperlukan untuk memuatkan semua ilmu yang ada?”
“Wah, tentulah berbilion-bilion banyaknya.
Bentuk dan jenis ilmu tersangatlah luas.”
“Saya masih berpendapat semua asas ilmu ada
dalam al-Quran.”
“Saya tetap tidak bersetuju,” tegas si pemuda.
Ulama hanya tersenyum.
Tidak puas hati, keesokan harinya pemuda itu
bertemu dengan ulama itu semula.
“Tuan masih percaya semua ilmu ada dalam
al-Quran?”
“Ya,” jawab ulama itu pasti.
“Kalau begitu, berapa banyak minyak yang boleh
didapati daripada sekilogram buah kelapa sawit?”
Ulama itu diam. Pemuda itu rasa bangga kerana
pada pengamatannya ulama itu akan tunduk pada pandangannya.
“Dan jangan lupa tunjukkan nama surah dan
ayatnya sekali ya…,” tambah pemuda itu.
Beberapa ketika kemudian, ulama itu berkata, “Ya
saya tahu jawapannya. Malah saya tahu surah serta ayat yang menjawab persoalan
itu. Tetapi untuk menjawabnya, mari ikut saya.”
Pemuda itu mengikut ulama tersebut menuju ke
suatu tempat.
“Kita nak kemana?”
“Ikut sahajalah.”
Tidak lama kemudian mereka bertemu dengan
seorang pekerja yang sedang menyelia kerja-kerja memproses buah kelapa sawit.
Ulama itu bertanya, “ Tuan, boleh beritahu kami berapa banyak minyak yang kita
akan dapat daripada sekilogram kelapa sawit?”
Penyelia itu spontan memberikan jawapannya.
Sejurus kemudian, ulama berkata kepada si pemuda, “Itulah jawapannya.”
“Eh, saya mahukan jawapan daripada al-Quran,
bukan penyelia ini!” Bantah pemuda itu agak marah.
“Itulah jawapan al-Quran,” jawab ulama itu
dengan tenang.
“Apa maksud tuan?”
“Inilah jawapan daripada al-Quran. Dalam surah
an-Nahl ayat 43, Allah telah berfirman yang bermaksud, ‘…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai
pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.’ Dan kita telah pun bertanya
kepada penyelia kilang kelapa sawit ini tentang soalan kamu. Inilah yang
dijelaskan kaedahnya oleh al-Quran dan inilah jawapan al-Quran kepada soalan
kamu itu.”
Pengajaran
Al-Quran bukan kitab sejarah, sains atau
ilmu-ilmu yang lain. Namun begitu, dalam al-Quran ada asas dan teras umum bagi
ilmu-ilmu itu yang menjadi dasar, prinsip dan panduan untuk mengembangkannya. Jika seseorang mempelajari al-Quran
secara menyeluruh, dia akan mempunyai pengetahuan umum bagi SEMUA ilmu yang
penting di dunia.
p/s: I’m about to read the ‘Healing with
the MEDICINE of the PROPHET s.a.w by Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah’ and I’m already
felt that it gonna be really wonderful. J
No comments:
Post a Comment