Thursday, August 29, 2013

Perut itu sumber penyakit



“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan (membazir). “
 (Surah al-A’raf 7: 31)

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada kantung yang dipenuhkan anak Adam yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah seseorang anak Adam itu makan dengan kadar beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang sulbinya. Jika tidak dapat dielak, jadikan 1/3 (daripada kantung perutnya) untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk pernafasan. “                                                                      (riwayat at-Tarmizi)

“Sentosanya tubuh itu adalah apabila mengurangkan makanan, dan sentosanya jiwa pada mengurangkan dosa dan sentosanya lidah itu adalah kurang bercakap.” (Tsabit bin Qurrah)

“ Sesiapa yang dapat menjaga perutnya, nescaya ia akan dapat menjaga agamanya. Sesiapa yang mampu berlapar, nescaya ia memiliki akhlak-akhlak yang soleh. Sesunggunya maksiat jauh daripada orang yang lapar dan hampir dengan orang yang kenyang.” (Ibrahim bin Adham)

“Jangnlah kamu makan banyak kerana nanti kamu akan minum banyak, lalu tidur kamu pun banyak dan akhirnya kerugian kamu pun banyak juga.” _Seorang Soleh_

Antara sunnah amalan pemakanan Nabi Muhammad s.a.w:
1-      Hanya menikmati makanan yang halal.
2-      Memulai makan dengan Basmalah.
3-      Mengakhiri makan dengan Alhamdulillah
4-      Makan dengan kadar sederhana sahaja (tidak berlebihan).
5-      Makan secara berjemaah
6-      Tidak bernafas di dalam gelas minuman.

Sumber: 101 Hadis Pengubatan Rasulullah s.a.w daripada Shahih Imam al-Bukhari




Sunday, August 25, 2013

Semua ada dalam al-Quran

“Semua ilmu ada dalam al-Quran,” kata seorang ulama.
“Maksud tuan ilmu dunia juga?” balas seorang pemuda.
“Ya, ilmu dunia dan akhirat.”
“Saya tidak percaya. Masakan begitu? Bagi saya mustahil kitab al-Quran yang hanya terdiri daripada ribuan ayat itu boleh mengisi semua bentuk ilmu.”

“Berapa ayat yang diperlukan untuk memuatkan semua ilmu yang ada?”
“Wah, tentulah berbilion-bilion banyaknya. Bentuk dan jenis ilmu tersangatlah luas.”
“Saya masih berpendapat semua asas ilmu ada dalam al-Quran.”
“Saya tetap tidak bersetuju,” tegas si pemuda.
Ulama hanya tersenyum.

Tidak puas hati, keesokan harinya pemuda itu bertemu dengan ulama itu semula.
“Tuan masih percaya semua ilmu ada dalam al-Quran?”
“Ya,” jawab ulama itu pasti.
“Kalau begitu, berapa banyak minyak yang boleh didapati daripada sekilogram buah kelapa sawit?”
Ulama itu diam. Pemuda itu rasa bangga kerana pada pengamatannya ulama itu akan tunduk pada pandangannya.
“Dan jangan lupa tunjukkan nama surah dan ayatnya sekali ya…,” tambah pemuda itu.

Beberapa ketika kemudian, ulama itu berkata, “Ya saya tahu jawapannya. Malah saya tahu surah serta ayat yang menjawab persoalan itu. Tetapi untuk menjawabnya, mari ikut saya.”
Pemuda itu mengikut ulama tersebut menuju ke suatu tempat.
“Kita nak kemana?”
“Ikut sahajalah.”

Tidak lama kemudian mereka bertemu dengan seorang pekerja yang sedang menyelia kerja-kerja memproses buah kelapa sawit. Ulama itu bertanya, “ Tuan, boleh beritahu kami berapa banyak minyak yang kita akan dapat daripada sekilogram kelapa sawit?”
Penyelia itu spontan memberikan jawapannya. Sejurus kemudian, ulama berkata kepada si pemuda, “Itulah jawapannya.”

“Eh, saya mahukan jawapan daripada al-Quran, bukan penyelia ini!” Bantah pemuda itu agak marah.
“Itulah jawapan al-Quran,” jawab ulama itu dengan tenang.
“Apa maksud tuan?”

“Inilah jawapan daripada al-Quran. Dalam surah an-Nahl ayat 43, Allah telah berfirman yang bermaksud, ‘…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.’ Dan kita telah pun bertanya kepada penyelia kilang kelapa sawit ini tentang soalan kamu. Inilah yang dijelaskan kaedahnya oleh al-Quran dan inilah jawapan al-Quran kepada soalan kamu itu.”

Pengajaran

Al-Quran bukan kitab sejarah, sains atau ilmu-ilmu yang lain. Namun begitu, dalam al-Quran ada asas dan teras umum bagi ilmu-ilmu itu yang menjadi dasar, prinsip dan panduan untuk mengembangkannya. Jika seseorang mempelajari al-Quran secara menyeluruh, dia akan mempunyai pengetahuan umum bagi SEMUA ilmu yang penting  di dunia.



p/s: I’m about to read the ‘Healing with the MEDICINE of the PROPHET s.a.w by Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah’ and I’m already felt that it gonna be really wonderful. J